Monday, 23 November 2015

Nikmati Hutan Hijau Dan Udara Segar Di "The Lost World of Sabah"

The Lost World of Sabah


Maliau Basin, juga dikenali sebagai "The Lost World of Sabah" merupakan salah satu misteri alam semulajadi yang belum terungkai sejak jutaan tahun dahulu.


Berada diperut Maliau Basin memberikan cabaran kepada pencinta alam semulajadi.



Diwartakan sebagai Hutan Simpan Yang Dilindungi (kelas 1) yang tidak boleh dilakukan sebarang ancaman alam sekitar.





Kawasannya meliputi 588.4 kilometer persegi. Dikelilingi dengan hutan tropika dan mempunyai sebatang sungai yang menarik dimana, airnya kelihatan keruh. Air sungai yang keruh ini disebabkan keadaan batuan fosil yang berusia jutaan tahun.


Selain itu, kedudukan Maliau Basin berada pada ketinggian 1,675 meter dari aras laut. Jika dilihat dari atas, ianya membentuk seperti satu sempadan tebing tinggi membulat dan berdiameter 25 kilometer serta mempunyai cerun. Bentuk sedemikian berlaku sejak 5 juta tahun dahulu akibat dari tektonik dan gunung berapi. Bahagian tengahnya mempunyai lembangan yang terbentuk akibat proses luluhawa.

Keadaan geografinya seperti mempunyai jurang garis pemisah dari dataran tanah disekitarnya. Ia mempunyai tebing setinggi 300 - 1,600 meter tinggi dan mewujudkan isolasi flora & fauna didalamnya seolah terpisah dari dunia luar.


Hanya air sungai Maliau yang 'berhubung' dengan dunia luar melalui aliran air yang mengunjur kesungai Kinabatangan iaitu sungai terpanjang di Sabah.

Dianggarkan terdapat lebih 1600 spesis tumbuhan di Maliau Basin antaranya, 9 spesis tumbuhan Periuk Kera, 440 spesis pokok dan 80 spesis Bunga Orkid. Bagi fauna pula, terdapat 69 spesis mamalia, 290 spesis burung dan lebih dari 35 spesis amfibia telah direkodkan.

Satu spesis bunga Rafflesia Tengku Adlinii yang jarang ditemui juga hidup disini.

Siri penjelajahan ke Maliau Basin memerlukan cabaran fizikal yang kental.




Bagaimana untuk ke Maliau Basin?

-Dari bandar Keningau, ambil perjalanan ke arah Timur sejauh 160 kilometer. Anda akan melalui Sook, Nabawan dan Sapulut. Perjalanan mengambil masa kira kira 5 - 6 jam.

-Dari Tawau, perjalan sejauh 190 kilometer ke arah Barat Tawau.

-Jika bajet mencukupi boleh saja dapatkan sebuah helikopter.

Untuk perjalanan yang mencabar ke Maliau Basin, anda hendaklah menaiki kenderaan pacuan 4 roda (4wd) kerana kemungkinan keadaan jalan yang tidak berturap.

Persediaan sebelum ke Maliau Basin.

-Persediaan fizikal adalah penting. Pastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik sebelum dan semasa perjalanan.

-Dapatkan barangan asasi makanan seperti beras, sayur, ikan, telur, air minuman dan sebagainya sebelum ke Maliau Basin.

-Pastikan minyak kenderaan mencukupi kerana difahamkan tiada stesen minyak diantara Keningau dan Maliau Basin.

-Tiada isyarat telekomunikasi di Maliau Basin. Pastikan perjalanan anda di maklumkan pada pihak berkuasa tempatan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

-Dapatkan maklumat lanjut di Pusat Informasi, 27 kilometer dari Maliau Basin. Disini terdapat kemudahan penginapan hostel, kedai cenderamata, pusat informasi, kafe dan sebagainya.

*Kredit; Fb Pantaitimur Sabahan.

LIKE & FOLLOW Soscili di Facebook